Wednesday, November 12, 2014

Tips mengelak daripada digigit anjing

TIPS MENGELAK DARIPADA DIGIGIT ANJING

 

1.       JANGAN LARI.

Apabila kita dikejar oleh anjing, sudah pasti kita akan berasa takut dan gementar. Jadi, secara automatik kita akan lari, dan lebih teruk lagi sambil menjerit kerasukan. Bahasa tubuh tadi membawa maksud yang sama kepada semua anjing, iaitu, KEJAR! Samada anjing jinak atau anjing liar, apabila kita lari mereka pasti kejar. Semua anjing bersifat pemburu dan pengejar. Jadi perkara pertama yang anda harus lakukan apabila disalak atau dikejar anjing, JANGAN LARI! Anda perlu berpaling sedikit dari mukanya, berpura-pura tidak mengendahkannya, tetapi awas, JANGAN membelakanginya.

 

2.       KEKALKAN TANGAN KE BAWAH

Jangan sesekali angkat tangan samada mengacah atau mengacukan apa-apa senjata kepadanya kerana anjing tersebut akan berasa terancam. Kita selalu dengar berpura-pura mengambil batu atau kayu atau apa-apa sahaja yang boleh dijadikan senjata akan menyebabkan anjing tersebut melarikan diri daripada anda. Benar! Akan tetapi, jika anjing tersebut adalah seekor anjing yang sangat ganas, ia hanya akan berhenti seketika, dan teruskan salakannya. Memang benar berpura-pura mengancamnya sebenarnya sangat berkesan, tetapi ia boleh jadi sangat mengancam. Jadi, mengambil langkah selamat adalah pilihan yang baik. Jangan pandang tepat ke matanya, berpaling sedikit ke sisi, berpura-pura tidak mengendahkan tetapi dalam keadaan berjaga-jaga.

 

3.       MENJAUHI SECARA PERLAHAN DAN LANCAR

Biasanya setelah beberapa ketika anjing tersebut menghampiri dan menyalak kepada anda, ia akan menjadi semakin kurang minat dan mengurangkan kekerapan salakannya. Oleh itu, anda boleh berjalan secara perlahan menjauhinya samada berjalan secara sisi ataupun berundur. Sekali lagi, jangan berjalan membelakanginya!

 

4.       BERTINDAK

Jika anjing tersebut masih menyerang anda, hulurkan apa sahaja kepadanya, beg tangan, jeket, dan sebagainya untuk digigit.. Jangan pedulikan tentang barang-barang anda, keselamatan anda lebih penting. Pada ketika ini, cuba sedaya-upaya untuk meletakkan sesuatu antara anda dan anjing itu. Capai apa sahaja yang boleh dijadikan senjata supaya ia melarikan diri. Kayu, batu dan sebagainya.