Saturday, February 19, 2011

Pelakon kena tahan kerana ugut pegawai SPRM kes Nikah Palsu

Seorang pelakon sebuah drama bersiri popular ditahan kerana disyaki mengugut pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuba mendapatkan keterangan lelaki itu berhubung dakwaan pernikahannya dipercayai menggunakan khidmat sindiket nikah palsu.

Pelakon berusia 43 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan sebaik menyerah diri di Balai Polis Kepong, di sini kira-kira jam 10 pagi semalam selepas mendapat tahu pegawai SPRM membuat laporan polis berhubung ugutan diterima mereka.

Terdahulu, dua pegawai SPRM itu dikata mengadakan pertemuan dengan pelakon terbabit kira-kira jam 11 malam Isnin lalu di sebuah kedai makan di Danau Kota, di sini untuk mendapatkan maklumat berhubung kes berkenaan.


Pelakon itu tiba bersama tiga rakannya, termasuk seorang bertindak sebagai jurucakap yang kemudian didakwa meminta pegawai SPRM menutup kes terbabit sambil memaklumkan kononnya beliau mempunyai hubungan rapat dengan pegawai atasan suruhanjaya berkenaan dan polis.

Malah, rakan pelakon itu dikatakan turut mengugut melakukan apa saja dan tidak teragak-agak menembak pegawai SPRM terbabit, selain mengugut mereka akan dibuang kerja jika enggan bekerjasama.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata dua pegawai SPRM terbabit membuat laporan berhubung ugutan berkenaan di Balai Polis Wangsa Maju sejurus selepas kejadian.

Akhbar semalam melaporkan, tokoh korporat bergelar Tan Sri dan artis adalah antara 500 pelanggan menggunakan khidmat sindiket nikah palsu yang dibongkar SPRM, Ahad lalu selepas menahan empat anggotanya termasuk seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz ketika dihubungi, berkata Lembaga Tata Tertib jabatan itu yang bersidang semalam membuat keputusan menggantung kerja kakitangan terbabit selama 59 hari berkuatkuasa semalam.

Bernama

No comments:

Post a Comment